Thursday, January 21, 2010

Belia dan Kemahiran

(disiarkan di Utusan Borneo 13/01/2009 dan boleh juga diakses di http://beliasabah.blogspot.com)

1) Majlis Belia Sabah (MBS) menyambut baik pengumuman Pengerusi SEDCO, Datuk Hj. Mohd Ariffin Arif berkenaan pembinaan pusat latihan kemahiran belia yang akan dikenali sebagai Institut Kemahiran dan Latihan SEDCO sepertimana yang telah disiarkan di Utusan Borneo pada 11 Januari 2010, semalam.

2) Pusat latihan kemahiran belia yang akan dibina ini akan mampu untuk menampung keperluan golongan belia dalam meningkatkan penguasaan beberapa bidang kemahiran yang diperlukan dalam pasaran sumber manusia di negeri ini. Pusat latihan yang akan dibina ini, juga diharapkan dapat meningkatkan kualiti modal insan selaras dengan menjayakan agenda pembangunan negeri ini di samping mengurangkan pengambilan pekerja-pekerja mahir dari luar.

3) Hasil dapatan kajiselidik aktiviti berkaitan belia yang dijalankan oleh Majlis Belia Sabah dari Mac hingga Mei 2009, seramai 1178 (86.75%) daripada 1358 koresponden yang diselidiki memilih bersetuju untuk menyertai Latihan Kemahiran sebagai latihan yang ingin dihadiri.

4)Selain daripada itu, seramai 1102 (81.15%) juga bersetuju untuk menyertai pertubuhan belia yang berteraskan kepada kemahiran profesionalisme dan keusahawanan.

5) Oleh itu, Majlis Belia Sabah amat mengalu-alukan penubuhan Kelab Usahawan Muda yang telah ditubuhkan oleh SEDCO di 45 buah sekolah seluruh Sabah dan ini amatlah bertepatan dengan hasil kajiselidik yang telah dijalankan oleh Majlis Belia Sabah. Dengan tertubuhnya Kelab Usahawan Muda ini Majlis Belia Sabah amat yakin usaha untuk melahirkan belia yang berdaya saing dan mempunyai nilai-nilai keusahawanan akan menjadi kenyataan.

6) Majlis Belia Sabah juga akan terus menyokong usaha ini dengan memberikan tumpuan dan menjalankan program-program yang boleh mempertingkatkan kemahiran keusahawanan untuk manfaat golongan belia. Akhir sekali, MBS juga ingin mengalu-alukan hubungan sinergi dengan pihak-pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan termasuklah SEDCO untuk terus membantu usaha meningkatkan kemahiran keusahawanan di kalangan belia di negeri ini.

ABDUL RAMLIE IBRAHIM
SETIAUSAHA AGUNG
MAJLIS BELIA SABAH
11 Januari 2010.

No comments:

Post a Comment