Wednesday, July 8, 2009

Perpaduan (dalam kepelbagaian) siri 2

Padu adalah satu kata perbuatan yang amat besar dan tinggi maksudnya. (sila lihat kiriman sebelum ini)

Tanpa padu, kata perpaduan tidak akan wujud. Begitu juga kata lain seperti memadukan, penyepaduan, kepaduan dan pemadu tidak akan membawa apa-apa pemberat.

Kadang kala, oleh kerana terlalu taksub dengan isu semasa dan emosi yang membara, kata asas padu ini sudah dilupakan maksud sebenarnya. Perjuangan dan kelantangan sesetengah pihak membela dan mengetengahkan hak bangsanya lebih diambil perhatian tanpa mengambilkira maksud sebenar padu itu. Kata asas padu ini memberi maksud utama kekuatan; mampat, pejal, padat dan tumpat adalah kata-kata yang menyokong kepada kekuatan. Kata padu yang seterusnya, barulah dimaksudkan dengan proses pembentukan kata perpaduan; telah bergaul (bercampur, bergabung) dan menjadi satu benar, sebati.

Teori Perpaduan bukanlah teori pengkajian saya seorang yang berkelulusan kejuruteraan ini tetapi saya amat tertarik dengan mewujudkan suatu komuniti masyarakat, negeri dan negara yang padu. Walau bagaimanapun, sebagai seorang penggerak kepada kemaslahatan golongan belia di negeri ini, saya memang perlu memahami keperluan sebenar untuk merealisasikan gagasan perpaduan ini yang tidak semestinya hanya bergantung kepada gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Teori Asimilasi mungkin tidak sesuai di Semenajung Malaysia tetapi ianya sesuatu yang tidak ganjil di Sabah dan telah menjadi kekuatan penyepaduan di kalangan etnik di negeri ini. Saya dilahirkan dan dibesarkan di negeri Sabah ini, negeri di bawah bayu yang mempunyai jumlah penduduk lebih kurang 3.0 juta merangkumi lebih 32 suku kaum dan kira-kira 80 dialek bahasa. Tidak janggal melihat anak-anak orang suku kaum Melayu disekolahkan di sekolah aliran Cina, tidak janggal kita melihat pelbagai suku kaum dan etnik duduk makan semeja, tidak janggal kita melihat orang-orang berbangsa Melayu menghadiri majlis perkahwinan orang dari suku kaum Kadazandusun dan memang bukannya pelik melihat upacara pengebumian satu suku kaum dihadiri oleh orang-orang daripada bangsa dan agama yang lain. Itulah uniknya Sabah!

Kita di Sabah ni memang sudah lama melepasi teori penyesuaian. Rata-rata orang dari semua suku kaum negeri ini tahu akan adat dan pantang larang sesuatu kaum yang lain. Pada bulan Februari lalu, dalam salah satu modul Kem Belia Sihat anjuran MBS, para peserta diminta untuk berbincang dan mempersembahkan tentang adat, agama, tarian kebudayaan dan hal-hal berkaitan sesuatu kaum di Sabah. Hasil persembahan dari perbincangannya amat mengagumkan! Persembahan yang amat interaktif, produktif dan informatif. Ini bukti orang-orang di Sabah memang sudah sebati dengan keperluan kepada penyesuaian ini. Asas menghormati perbezaan dan menghargai persamaan inilah yang sepatutnya menjadi asas kepada teori penyesuaian seperti yang dicanangkan oleh pakar-pakar dalam bidang sains kemasyarakatan.

Cabaran-cabaran kepada pemadu dalam konteks perjuangan perpaduan di negeri ini, termasuk diri saya sendiri untuk membina sebuah negeri yang padu adalah untuk memastikan asas-asas sosial dan kehidupan dipenuhi; Adalah tidak adil untuk kita mengharapkan pelajar SPM di Pensiangan mendapat 10A dengan ketiadaan elektrik, keadaan sekolah yang daif dan prasarana-prasarana lain yang tidak mencukupi apabila kita di bandar Kota Kinabalu ini memiliki segala-galanya. Begitu juga kepada anak-anak dari golongan miskin tegar (luar dan dalam bandar) yang tidak dapat mendapat peluang belajar melalui kelas-kelas tuisyen tambahan, ruang pembelajaran interaktif internet mahupun buku-buku latihtubi tambahan.

Inilah yang harus kita sama-sama perjuangkan untuk membentuk Sabah yang lebih padu.

1 comment:

  1. Dari perspektif lain padu turut menarik maksud tumpat, mantap, compaq, unggul dan tuntas. Mempunyai impak, malahan ia adalah ciri-ciri mutu/kualiti

    ReplyDelete