Beginilah pemandangan di sepanjang perjalalanan kami dari Bursa ke Konya melalui Isparta dan Bolvadin. Pemandangan sama jugalah yang kami nikmati semasa balik ke Istanbul melalui Ankara.
Selain pemandangan gunung ganang yang kadang-kadang diliputi salji dan pokok pain yang menghijau, tanahnya juga diliputi oleh ladang gandum serta padang ragut untuk biri-biri, kambing dan lembu mengalas perut. Makanan asas seperti gandum ditanam seratus peratus oleh penduduk Turki; penternakan ayam, lembu dan kambing juga industri utama yang menjana ekonomi negara ini.
Industri pemakanan adalah industri yang perlu diberi perhatian serius oleh sebuah negara yang berdaulat. Faktor kekuatan dan pengekalan keukuhan Dawlah Uthmaniyyah ialah industri makanannya yang tidak bergantung sama sekali dari negara luar hinggalah ke hari ini. Walaupun selepas kalah teruk pada Perang Dunia Pertama, Turki masih lagi mampu untuk menjadi kuasa yang kuat selepas itu, juga adalah kerana kekuatan industri pemakanannya.
Berbeza dengan Malaysia, kita amat bergantung kepada makanan import dan kita membelanjakan lebih kurang RM25 billion setahun untuk mengimport makanan (statistik 2008). Saya bukan pakar ekonomi, tetapi dengan statistik beginilah yang menunjukkan kebergantungan kita kepada iklim dunia semasa. Jika iklim ke arah barat, ke baratlah kita dan jika ianya cenderung ke timur, ke timurlah kita.

Bunga popi – yang boleh menghasilkan candu (opium). Kerana itulah kawasan ini dinamakan Afyon (maknanya candu dalam bahasa Turki). Kerajaan Turki menggalakkan penanaman bunga popi ini bagi membantu industri ubat-ubatan di Turki.
Industri ubat-ubatan merupakan industri yang tidak pernah terlintas di fikiran saya sebelum saya sampai ke bandar Bolvadine. Seingat saya, semua ubat dihasilkan oleh bahan kimia tetapi dari mana datangnya bahan kimia yang berasaskan candu untuk kegunaan membuat panadol (paracatemol), ubat tahan sakit, antibiotik dan ubat bius adalah sesuatu yang saya tidak ambil peduli.
Walau bagaimanapun, industri penanaman candu ini mestilah dikawal dengan baik bagi mengelakkan ianya jatuh kepada golongan-golongan manusia yang tamak dan durjana. Ingatlah ayat 41 surah ar-Rum yang maksudnya : “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
No comments:
Post a Comment