Saturday, August 23, 2014

Hilang makna beragama

Hari ini makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme dan kegilaan media (media frenzy) hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan segelintir pihak, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, mahu pun menyelamatkan kemanusiaan.

Suatu yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan dikaitkan dengan kesusahan, kedhaifan, tragedi atau musibah. Namun menyedihkan, ia diragut oleh kegilaan dan perlumbaan media dengan begitu ganas.

Sudahlah isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme dan kegilaan media mengeruhkan lagi keadaan.

Karen Armstrong mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya 'History of God' mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu 'The Death of God' dan 'Has God a Future?'.

Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama yang makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri?

Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian:

“Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.”

Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim.

Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalkan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang musibah, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal menghadapi musibah dan amalan berkaitan yang syar'ie.

Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal.

Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masyarakat yang sudah hampa dari makna beragama.

Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau.

Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masyarakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama.

Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya.

Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi.

Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama.

Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman di mana perindustrian serba moden hari ini yang dikata memilki segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan seharian kita. Ini hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna beragama ialah satu kemestian, dan adalah tanggungjawab bersama.

Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti beragama.

No comments:

Post a Comment