Monday, May 23, 2011

Mendidik akal budi

Pendidikan akal budi adalah elemen yang paling penting dalam pembinaan individu dalam generasi yang terarah dan memiliki keperibadian unggul yang selalu dikaitkan dengan gelaran ulul al-bab. Pendidikan akal budi ini perlu diteraskan dengan pembudayaan ilmu dalam kehidupan seharian. Menurut Prof Wan Nor Wan Daud, budaya ilmu ialah kewujudan suatu keadaan setiap lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan; dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik pada tahap individu atau masyarakat, ditentukan dan diputuskan serta dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan.

Dalam semua tamadun, apatah lagi tamadun Islam, budaya ilmu menjadi teras kemajuan dan jati diri. Menerusi budaya ilmu, program dan aktiviti berkaitan ilmu seperti pendidikan, penggubalan dasar, aturcara majlis, gaya, cara hidup, dan sebagainya mestilah berteraskan kepada kefahaman dan martabat ilmu yang dianggap suatu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di semua peringkat.

“Apabila engkau mendapat wang, belikan emas;
jualkan emas itu, belikan intan;
jualkan intan, belikan manikam;
jualkan manikam, belikan ilmu.”


Petikan daripada Hikayat Abdullah di atas (yang dihasilkan pada tahun 1849) menangkap sekaligus merumuskan kearifan orang-orang kita dahulu tentang pentingnya ilmu dalam kehidupan masyarakat manusia. Ilmu ditempatkan pada kedudukan teratas, berbanding segala kekayaan dan kemewahan duniawi.

Daripada perspektif Barat, Ilmu itu didefinisikan sebagai “sekadar sekumpulan perasaan manusia, tetapi ia lebih kepada suatu peralatan konsep yang membolehkan manusia memahami sesuatu, yang tidak dapat diperoleh melalui pengalaman’ oleh Immanuel Kant (1724 – 1804) dan daripada Perspektif Prof Syed Mohd. Naquib al-Attas yang juga dikukuhkan oleh muridnya, Prof Wan Mohd. Noor Wan Daud (1995) “Ilmu adalah ketibaan maklumat yang benar dan bermakna ke dalam diri insan”.

Justeru itulah, budaya ilmu sama sekali tidak boleh terhad kepada usaha keilmuan yang dilakukan oleh segolongan kecil ahli masyarakat sahaja, apatah lagi sekiranya dibebankan hanya kepada golongan mahasiswa dan pensyarah dalam konteks pembinaan masyarakat berpendidikan tinggi di kampus. Namun begitu, disebabkan kuantiti ilmu itu tidak terbatas sifatnya, maka pengkhususan ilmu amat diperlukan berdasarkan kepada teras dan paksi yang sama untuk mewujudkan kesatuan ilmu, kerana hakikatnya sesuatu ilmu itu saling melengkapi antara satu dengan yang lain.

Ringkasnya, dalam sesebuah masyarakat yang mendukung budaya ilmu yang subur dan mantap, maka tingkah laku masyarakat di seluruh peringkat dan lapisan – tanpa mengenal usia, kerjaya, harta, dan status sosial – akan berteraskan kepada pengajian dan penghayatan ilmu.

Dengan demikian itu, kepentingan dan pertimbangan lain, apatah lagi jika pertimbangan tersebut berasaskan sentimen dan dimensi sempit kelompok politik, status sosial, percaturan ekonomi, sentimen kesukuan atau mazhab sama sekali tidak boleh menjadi asas paling utama dalam sistem nilai. Justeru, menerusi sistem nilai yang berteraskan budaya ilmu ini, maka akan terhasil keharmonian, barakah dan kesejahteraan kerana nilai kebenaran dan keadilan menjadi tonggak dan asas masyarakat.

No comments:

Post a Comment