Thursday, January 21, 2010

Hijrahku di Zaman ini

Dan barangsiapa yang berhijrah pada jalan Allah nescaya akan didapatinya di muka bumi rintangan yang banyak dan juga keadaan yang lebih lapang. Dan barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan hijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian maut menemuinya, maka telah tercatat pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

(an-Nisa : 100)

Fahrur-Razi menafsirkan ayat di atas dengan maksudnya, bahawa engkau merasa berat hijrah dari tanahairmu, takut kerana banyaknya rintangan dalam perjalanan. Maka janganlah engkau takut, kerana Allah akan menggantikan rintangan itu dengan hidup yang lebih mudah dan penuh nikmat kemuliaan.

Sebelum penghijarahan dari Mekah ke Madinah, Nabi Muhamamad SAW telah pun menerangkan kepada Para Sahabat tentang dasar atau ideologi peristiwa hijrah ini. Ini ditegaskan dengan Hadis Nabi Sallallahu alaih yang terkenal, Innamal a'malu binniat, Sesungguhnya semua amalan bermula dengan niat.

Di dalam al-Quran pulah, Hijrah itu adalah sinonim dengan kata sabilillah (Jalan Tuhan), waman yuhajir fisabilillah (Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah)! Dan dalam susunan ayat lain iman (amanu) dengan hijrah (hajaru) dan berjuang atau berjihad (wa jahadu) tidak juga dapat dipisahkan, ianya adalah tiga tali, tiga komponen yang saling kait-mengaait antara satu sama lain yang menjadi tunjang kepada kehidupan diri seorang Muslim.

Kembali kepada Shuhaib, seorang Rumi (orang berbangsa Rom) kaya raya kerana perniagaannya dan telah lama tinggal di Mekah. Kerana aqidah dan cintanya kepada Allah dan Rasul, sanggup dia berhijrah. Lalu ada orang-orang Mekah berkata, "Telah kaya engkau sekarang! Setelah engkau mengumpulkan kekayaan di negeri kami, sekarang engkau mau pindah, sombongnya engkau!"

Shuhaib menjawab, "Jika segala harta ini aku tinggalkan buat kamu semua untuk dibahagi-bahagikan, apakah kamu semua masih menggangguku juga jika aku berhjrah?"

"Tidak!" Jawab mereka dengan kasarnya. Maka berkatalah Shuhaib, Ämbillah harta bendaku ini semuanya, biarlah aku sehelai sepinggang sahaja keluar, namun hijrahku jangan dihalang!"

Inilah ujian sebenar kepada jatidiri seorang Muslim. Musuh kita tidak akan berhenti daripada menghalang kita walau apa pun jua keadaan kita. Ayuh, berhentilah beralasan dan majulah ke hadapan.

Ibnu Qayyim menyatakan bahawa hijrah itu tamat selepas terbukanya Kota Mekah pada tahun kelapan hijrah, tetapi hijrah yang lebih besar maknanya tidaklah akan berhenti sehinggalah hari kiamat.

Proses hijrah akan berterusan; dari yang mungkar kepada yang makruf, dari yang zalim kepada yang adil, dari kesesatan kepada kebenaran, dari kekufuran kepada keimanan. Perjuangan kita yang terperncil (ghuraba) kepada keteguhan pendirian, penegasan haq, walaupun masyarakat sekeliling tenggelam dalam kebatilan.

Walaupun tertutup segala pintu di bumi, namun hati orang yang hidup mempunyai aqidah akan tetap tenang kerana munajatnya ke langit tidak pernah tertutup. Ingatlah pengucapan Nabi Luth, Ïnni muhajiran li Rabbi", Aku berhijrah kepada Tuhanku....


رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا
Ya Rabb kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami bersalah.

No comments:

Post a Comment